Saturday, 31 December 2011

Ucapan Ketua MGPM Sempena Persekolahan Sesi 2012



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam, salawat dan salam ke atas nabi Muhammad s.a.w., para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman.

Selaut kesyukuran  kepada Allah  kerana dapat menyampaikan sepatah dua kata dalam ruangan ini, tahniah kak Saadiah ucapkan kepada semua guru Pasti di semua peringkat, serta ibu bapa atas sokongan  membuka kelas pengajian di cawangan Pasti di seluruh negara pada sesi persekolahan 2012 nanti.

Belum terlambat rasanya untuk kak Saadiah mengucapkan selamat menyambut tahun hijrah 1433. Semoga tahun baru ini memberi kekuatan kepada kita meningkatkan amal solih untuk kesejahteraan hidup di dunia dan menjadi bekalan terbaik demi kehidupan di akhirat. Syukur kerana memilih kita sebagai muslimah bagi meneruskan perjuangan yang diamanahkan.


Pasti adalah tempat anak-anak diasuh dan dididik dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang bertujuan membangunkan rohani, emosi, intelek dan jasmani mereka mengikut acuan Islam. Sebagai ibu bapa, menghantar anak belajar di Pasti adalah memenuhi tanggungjawab memberi pendidikan asas Islam kepada mereka. Anak kita ibarat kain putih. Pendidikan akan mencorakkan kehidupan mereka pada masa hadapan, jadi kita sebagai guru hendaklah mendidik mereka dengan penuh kasih sayang agar apa yang kita ajarkan dapat mendidik mereka menjadi insan yang soleh dan sudah tentu  akan menjadi penunjuk dan pembimbing terbaik untuk menyelamatkan mereka mengharungi kehidupan agar tidak terjerumus kepada kesesatan atau kemurkaan Allah.

Selain dari itu  Kak Saadiah juga ingin mengucapkan tahniah pada guru yang telah mengikuti kursus pra tahfiz dan akan melaksanakan pada tahun ini.  Kak Saadiah doakan agar guru-guru bersabar dalam menempuhi segala halangan dan rintangan yang akan kita hadapi.

Semoga guru-guru dapat memberi pengajaran yang terbaik kerana kita mempunyai kurikulum pany terbaik ,berbanggalah dengan apa yang kita ada dan teruslah mendidik, ilmu yang kita beri ibarat padi ,hanya sebiji yang kita tanam tapi apabila ia tumbuh dan berbuah bukan hanya sebiji tetapi beratus yang kita dapat.  Corakkan kain putih itu dengan celupan Ilahi, semoga semua yang amal yang kita berikan akan menunggu  kita dipintu syurga .


 
   guru  ibarat tiram
    dihiris pepasir tercalarlah ia
    sungguh pun terluka tapi dipendam
    walau pedih tapi disimpan
    namun kuasa allah pada tiram
    sebutir mutiara Allah jelmakan 
    itulah sifat orang beriman

syukran a’laik
ketua mgpm
سعديه ابوبكر

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...